Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
KURIKULUM baru sekolah rendah yang dikenali sebagai
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan diperkenalkan pada 2011 dengan
subjek yang lebih sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif.
Kurikulum tersebut bakal menggabungkan beberapa subjek
menjadi satu selain turut akan memperkenalkan satu subjek baru yang bertema
semangat kenegaraan dan patriotik.
KSSR akan mula diperkenalkan dan diterapkan kepada murid
tahun satu kerana kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam
persekolahan atau peringkat awal pendidikan mereka.
Penerapan dari peringkat awal akan membantu memudahkan
perjalanan serta pembelajaran murid-murid tersebut yang akan melangkah ke
tahun-tahun seterusnya sejajar dengan perubahan umur.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd
Dom berkata, KSSR tidak akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).
Melalui KSSR katanya, pengajaran dan pembelajaran akan
menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks oleh itu guru-guru sedang
disedia dan dilatih untuk KSSR.
Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah
rendah khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Pendekatan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan
menjadi lebih menarik dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua
bahasa tersebut serta meningkatkan penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar
dalam subjek Matematik dan Sains sejajar dengan matlamat kerajaan.
Buat peringkat permulaan, sebanyak 500 buah sekolah telah
menjalani uji rintis mulai 31 Mac 2009 sehingga akhir Jun 2009.
Sebanyak 50 buah sekolah akan menjalani uji rintis semua
mata pelajaran manakala sekolah selebihnya akan menjalani uji rintis dalam mata
pelajaran terpilih.
KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu
Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif.
Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu
kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran
asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi,
kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.
Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan
tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan
sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.
Selain itu, kementerian juga akan memperkenalkan Kurikulum
Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi murid-murid prasekolah berumur lima
dan enam tahun seluruh negara.
Pada peringkat ini pula, tumpuan akan diberikan kepada
perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke
sekolah rendah serta pendedahan awal mengenai kemahiran 4M.
No comments:
Post a Comment